Artikel

RON95 Tanpa Subsidi – Mengapa Harga Petrol Malaysia Tetap Rendah Di Pasaran?

Apabila kita bercerita tentang harga petrol di Malaysia, perbincangan ini pastinya tertumpu kepada penawaran subsidi. Dan untuk makluman umum Malaysia sekian lama telahpun menyediakan inisiatif subsidi petrol melibatkan RON95 kepada rakyat negara. Terbaharu penawaran subsidi itu dilaksanakan melalui kaedah baharu iaitu menggunakan kad pengenalan diri rakyat – MyKad, bersama kadar baharu RON95 iaitu RM1.99 seliter dengan maksimum penggunaan 300 liter sebulan.

Namun apa yang menarik perhatian bukanlah langkah subsidi ini, tetapi harga RON95 tanpa subsidi yang dilaraskan pada kadar RM2.60 seliter. Angka ini untuk makluman adalah jauh lebih rendah berbanding harga runcit petrol di kebanyakkan negara Asia Tenggara. Jadi persoalannya mengapa pasaran lain tidak boleh melaraskan pada kadar yang sama?

Malaysia Guna APM – Untuk Laraskan Kos Petrol Di Pasaran

Sejak tahun 1983 lagi, Malaysia telahpun menggunakan Automatic Pricing Mechanism (APM) untuk tindakan pelarasan harga petrol sama ada bersubsidi atau harga pasaran sebenar. Sistem ini bertujuan untuk pastikan harga jadi lebih stabil di samping memastikan kos operasi runcit dan keuntungan syarikat dikekalkan pada kadar minimum yang ketat.

Penetapan kadar keuntungan yang rendah dan tetap ini bertujuan untuk menghalang syarikat-syarikat minyak seperti Petronas dan Shell daripada tindakan menaikkan harga runcit petrol secara agresif untuk mengaut keuntungan besar, yang biasa berlaku di pasaran tanpa kawalan harga.

Selain mengawal margin keuntungan – sistem APM turut mengawal kos lain seperti Kos Operasi melibatkan pengangkutan dan pemasaran serta komponen Alpha. Komponen ini meliputi perbezaan harga antara rujukan pasaran (Platts) dan harga belian sebenar syarikat minyak. Dengan kawalan ini maka tidak hairanlah mengapa harga akhir petrol di Malaysia lebih rendah. Berbanding negara lain, dengan penerapan kos sedemikian ia menjadikan harga akhir petrol lebih tinggi.

Petrol Bukan Sumber Cukai Utama Negara

Semua pihak perlu fahami, penetapan harga runcit petrol tidak sekadar ditentutkan oleh kos minyak mentah semata tetapi sebahagian besarnya dipengaruhi oleh beban cukai yang dikenakan oleh kerajaan di setiap negara. Di Malaysia, tindakan ini adalah pembeza utama.

Ini kerana melalui penetapan menggunakan APM, sistem ini secara asasnya telah mengeluarkan Cukai Jualan (SST) dan Cukai Eksais ke atas petrol. Perihal itu sekaligus menjadikan penetapan harga petrol di negara menyamai harga kos runcit. Ini membolehkan harga petrol Malaysia kekal rendah berbanding dengan negara lain, yang sebaliknya menjadikan bahan api sebagai sumber utama pendapatan fiskal.

Sebagai contoh antaranya negara Thailand dan Filipina yang telah mengenakan cukai jualan sementara Singapura pula mengenakan cukai eksais sehingga S$0.79 seliter kepada pengguna mereka. Perihal itu bagi mengatasi isu kesesakan dan kawalan penjagaan alam sekitar kalangan pemandu.

Status Negara Pengeluar Minyak – Jadi Kelebihan Buat Malaysia

Perlu diakui, kedudukan Malaysia sebagai negara pengeluar minyak dan memiliki kemudahan penapisan domestik turut menyumbang kepada kos asas yang lebih rendah berbanding negara yang 100% mengimport produk petrol yang telah ditapis.

Keupayaan untuk mendapatkan minyak mentah secara domestik (atau serantau) dan menapiskannya mengurangkan kebergantungan kepada pasaran import yang lebih mahal dan mengurangkan kos logistik import petrol siap. Selain itu, biarpun harga belian petrol ditetapkan secara global (berdasarkan MOPS Singapura), kos sebenar untuk mengangkut petrol dari kilang penapisan ke stesen minyak domestik Malaysia adalah lebih rendah berbanding kos untuk mengimport, mengangkut, dan insuranskan petrol ke pulau-pulau di Filipina atau pedalaman Thailand.

Mengapa Malaysia Merujuk MOPS – Means of Platts Singapore?

Walaupun Singapura tidak mempunyai sumber minyak mentah sendiri, negara ini telah membina ekosistem yang menjadikannya pusat terkemuka dunia bagi penapisan, penyimpanan, dan perdagangan produk petroleum. Maka tidak hairanlah mengapa Malaysia melalui sistem APM merujuk MOPS.

Apabila syarikat minyak Malaysia (seperti Petronas) menjual produk petrol di pasaran domestik, harga kosnya diukur berdasarkan harga yang mereka boleh perolehi jika mereka mengeksport produk tersebut ke pasaran antarabangsa. Oleh kerana hampir semua urus niaga eksport petrol Asia merujuk kepada harga MOPS, harga ini menjadi penanda aras antarabangsa yang paling kompetitif dan dominan yang wajib dirujuk untuk menentukan nilai kos sebenar produk sebelum sebarang subsidi atau cukai domestik dikenakan.

Kesimpulannya, fenomena harga pasaran RON95 Malaysia yang lebih murah berbanding negara Asia Tenggara lain bukanlah disebabkan keajaiban ekonomi. Sebaliknya, ia adalah hasil langsung daripada dua faktor utama iaitu ketiadaan cukai jualan dan eksais yang besar, yang mana negara jiran menggunakannya untuk menjana hasil negara serta kawalan ketat kerajaan ke atas margin keuntungan syarikat minyak dan pengusaha stesen melalui mekanisme APM telah membantu rakyat negara meraih manfaat akses tersebut secara berkala.