Selari dengan perkembangan nilai aset token yang dijangka meningkat kepada $18.9 trilion menjelang 2033 – pencapaian itu dilihat wajar dimanfaatkan Malaysia untuk menjadi antara hab serantau yang memiliki ekosistem kewangan digital yang kukuh.
Sasaran itu dizahirkan Luno Malaysia pada Persidangan Aset Digital Institusi Luno 2025 (LIDAC) pada pagi ini. Matlamat ini jelas Luno bertepatan dengan pembabitan kumpulan pada pasaran negara sejak 2019 lagi – yang ketika ini telah menyokong sekitar 2 juta rakyat Malaysia.

Maka bersama penyertaan lebih 300 pemain industri tempatan dan luar negara, sidang ini memberi tumpuan kepada landskap aset digital semasa di samping meneliti kelebihan yang berupaya diteroka Malaysia bersama pemain luar dalam meningkatkan pegangan aset kalangan pengguna. Antara tumpuan yang turut ingin diketengahkan adalah inovasi fintech Islam global yang kini dilihat semakin tinggi potensinya.
Untuk perkembangan pasaran aset digital di Malaysia – tahun 2025 memperlihatkan sebanyak 22 kriptowang telahpun ditawarkan Luno pada pasaran tempatan meliputi penambahan dua koin iaitu Hedera dan The Graph.