Malaysia kini melangkah ke hadapan dengan melancarkan dua acara utama MDX Summit 2025 dan SmartGov 2025 dalam usaha besar untuk membentuk masa depan digital negara. Penganjurannya hasil kerjasama antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Jabatan Digital Negara (JDN), dilihat bertujuan memastikan Malaysia terus menjadi peneraju ekonomi digital di rantau ini dan mencapai sumbangan 30% kepada KDNK negara menjelang 2030.
Sebagai perincian MDX Summit 2025 adalah platform untuk usahawan muda hingga syarikat besar, memahami perubahan dan keperluan teknologi pada pasaran semasa. Ia akan mempamerkan lima bidang penting yang akan mengubah cara kita hidup dan bekerja, data, pengkomputeran, keselamatan siber, kreativiti digital, dan pembangunan bakat. Secara ringkas, acara ini akan menunjukkan bagaimana teknologi baru seperti kecerdasan buatan (AI) dan metaverse boleh digunakan untuk mencipta peluang pekerjaan dan perniagaan baharu. Ini adalah peluang untuk rakyat Malaysia membina kemahiran masa depan dan bersedia untuk dunia digital yang pantas berubah.
Manakala, SmartGov 2025 pula berfokus kepada bagaimana kerajaan boleh memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat. Dengan menggunakan teknologi seperti AI dan data raya, kerajaan memastikan sistem bersama agensi kerajaan menjadi lebih mudah, pantas, dan telus. Ini bermakna, tidak lagi perlu beratur panjang atau mengisi borang yang rumit. Matlamat utama adalah untuk menjadikan perkhidmatan awam lebih mesra rakyat, seiring dengan kehidupan digital yang kita jalani.
Adanya kedua komitmen ini, ia secara langsung dapat meningkatkan kualiti hidup pihak tidak sekadar memudahkan ekosistem bersama rakyat tetapi untuk memastikan kemahiran pemain ekonomi tempatan selari dengan perubahan teknologi semasa menjadikan bakat Malaysia kekal relevan di pasaran semasa. Secara menyeluruh, ini 5 fokus yang diperincikan pada sidang MDX 2025:
- Data Generasi Seterusnya (Next-Gen Data): Membincangkan bagaimana data dapat dimanfaatkan untuk mencipta nilai baharu dan membina ekonomi data yang inklusif.
- Pengkomputeran Generasi Seterusnya (Next-Gen Computing): Meneroka kemajuan dalam pengkomputeran kuantum dan AI yang akan membentuk landskap teknologi masa depan.
- Amanah Generasi Seterusnya (Next-Gen Trust): Menekankan kepentingan keselamatan siber, privasi, dan etika dalam dunia digital.
- Kreativiti Generasi Seterusnya (Next-Gen Creativity): Mengetengahkan bagaimana teknologi seperti metaverse dapat membuka ruang baharu dalam industri kreatif.
- Bakat Generasi Seterusnya (Next-Gen Talent): Membina tenaga kerja yang mahir dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran dan peluang ekonomi digital.