Artikel

Hanya 15% Rakyat Malaysia Miliki Pelan Pewarisan Harta

Satu tinjauan Sun Life Malaysia menunjukkan walaupun kebanyakan rakyat Malaysia sedar akan pentingnya merancang harta pusaka, hanya 15% sahaja yang benar-benar mempunyai pelan pewarisan tersebut. Tinjauan Insure or Unsure Insurance Literacy Survey 2025, melibatkan lebih 1,000 responden ini mendapati bahawa 65% daripada mereka menganggap perancangan ini sangat penting. Namun, terdapat jurang yang besar antara kesedaran dan tindakan.

Antara sebab utama mengapa ramai orang tidak mengambil tindakan ialah mereka menganggap perancangan harta pusaka hanya untuk golongan kaya. Sun Life melihat pandangan ini wajar diubah selagi mana seseorang itu mempunyai keluarga, mereka sudah mempunyai waris yang perlu dilindungi dan dijaga. Perancangan ini adalah langkah penting untuk memastikan kesejahteraan keluarga di masa hadapan, tanpa mengira jumlah harta yang dimiliki.

Namun perlu diakui masih terdapat beberapa faktor utama yang turut mengekang lebih ramai rakyat negara miliki akses tersebut adalah seperti kekangan kewangan (41%), diikuti oleh ketidakpastian tentang cara untuk memulakannya (39%), dan komitmen kewangan lain yang dianggap lebih penting (35%).

Malah masih ramai keluarga menganggap perbincangan tentang kematian dan harta sebagai sesuatu yang sensitif atau “tabu”. Ironinya, sikap berdiam diri inilah yang sering kali menjadi punca konflik keluarga di kemudian hari. Secara menyeluruh 15% rakyat negara yang dilihat bersedia akan keperluan ini merangkumi kumpulan yang telah bersedia dengan tindakan insurans dan takaful (71%), dana amanah (53%) dan wasiat (44%).