Artikel

Malaysia Jangka 85% Rakyat Tinggal Di Bandar – Menjelang 2040

Dalam tempoh 15 tahun akan datang, Malaysia dijangka akan menyaksikan lonjakan populasi bandar yang signifikan. Dianggarkan, sekitar 85% rakyat Malaysia akan mendiami kawasan bandar menjelang tahun 2040. Perkembangan ini sekaligus menunjukkan aliran ekonomi Malaysia akan alami peningkatan di rantau Asia Tenggara, namun perlu diakui terdapat lebih banyak cabaran-cabaran kritikal yang perlu dipantau negara.

Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Simposium Kejuruteraan Bandar IEM 2025 hari ini, cabaran utama yang perlu ditangani merangkumi pembangunan yang padat – kesesakan ruang dan kepadatan penduduk yang tinggi, infrastruktur pengangkutan awam – keperluan untuk sistem yang cekap dan menyeluruh, kesesakan lalu lintas – masalah yang semakin parah akibat peningkatan kenderaan, kos kediaman yang melonjak – kesukaran rakyat memiliki rumah mampu milik, isu perparitan dan banjir kilat – peningkatan risiko bencana alam di kawasan bandar.

Menyahut cabaran-cabaran ini, kerajaan kini telah mengambil langkah proaktif. Pelbagai inisiatif strategik telah diperkenalkan, antaranya Model Bina-Kemudian-Jual (BTS) – usaha ke arah mewajibkan model ini akan melindungi pembeli dan mengurangkan risiko projek perumahan terbengkalai, Perjanjian Jual Beli Elektronik (eSPA) – memudahkan dan mempercepatkan urusan jual beli hartanah, Insentif Pemaju – galakan kepada pemaju untuk menyiapkan projek terbengkalai menjelang 2030.

Selain itu, program perumahan sedia ada turut dinaiktaraf. Penjenamaan semula perumahan kos rendah kepada Residensi Rakyat (PRR) kini dilihat memiliki kelengkapan yang lebih baik dengan kemudahan moden seperti panel solar, kawasan tadahan air hujan, akses pintar, dan sokongan kawasan pertanian bandar.

Buat pengetahuan umum, ketika ini sekitar 78% rakyat Malaysia telahpun tinggal di kawasan bandar. Oleh itu, jangkaan peningkatan jumlah penduduk bandar itu dilihat wajar selari dengan jangkaan Jabatan Perangkaan (DOSM) yang menjangkakan populasi Malaysia meningkat kepada 39.78 juta penduduk pada 2040.

Maka dengan penambahbaikan akses yang berterusan, Malaysia berupaya menyediakan kemudahan yang selari dengan kapasiti dan keperluan penduduk bandar di masa hadapan secara berkala. Langkah-langkah ini bukan sahaja akan memacu pertumbuhan ekonomi negara, malah dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia secara keseluruhannya.