Kini, rumah tidak lagi sekadar tempat berteduh, sebaliknya menjadi pemacu gaya hidup, kesejahteraan kewangan serta identiti peribadi. Dengan permintaan itu, IKEA Malaysia memaklumkan dalam tempoh 12 bulan mendatang pihaknya akan mengfokuskan kepada konsep ‘berpatutan’ dengan mengutamakan 4 bahagian dalam kediaman meliputi ruang dapur, ruang makan, ruang tamu, dan storan, serta menawarkan penyelesaian yang lebih mampu milik, mudah diakses dan lestari kepada pengguna.
Fokus baharu berdasarkan Laporan Kehidupan di Rumah IKEA yang dibentangkan pada sidang media Malaysia’s Life at Home: Unpacked hari ini. Tinjauan mendapati, hanya 56% rakyat Malaysia berasa positif dengan kehidupan di rumah, dengan keselesaan (83%), keselamatan (83%) dan keseronokan (80%) muncul sebagai tiga keperluan utama bagi meningkatkan kualiti kehidupan.
Laporan itu turut mendedahkan biarpun kebanyakan responden mengimpikan rumah yang selesa untuk berehat, 33% melihatnya sebagai cara untuk berjimat, manakala 25% pula bercita-cita menjadikannya sumber pendapatan.
Maka dengan mengangkat konsep ‘berpatutan’ sekitar lebih 2,000 item baharu bakal diperkenalkan pada tahun 2025 dan 2026, sekali gus mengukuhkan lagi komitmen IKEA terhadap kehidupan yang lebih mampu milik, lestari dan menyeronokkan di pasaran Malaysia.