Payment Network Malaysia (PayNet), rangkaian pembayaran nasional hari ini memaklumkan akan melantik Praveen Rajan selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu kumpulan bagi menggantikan Farhan Ahmad – berkuat kuasa mulai 1 Februari 2026 ini.
Pemilihan Praveen ini menurut notis dilihat bertepatan dengan pengalaman luasnya pada arena teknologi kewangan Malaysia. Sebelum mencapai tahap ini, Praveen merupakan Pengasas Bersama startup LifeLogger dan perluaskan jejak pengalamannya bersama Digi selaku Ketua Pegawai Pemasaran dan Ketua Pegawai Digital sehingga 2020. Setelah itu dia dipilih untuk peranan Ketua Perniagaan Pengguna CelcomDigi dan kelak akan menerajui PayNet.
Berbekalkan pengalaman itu, PayNet menjangkakan penyertaan Praveen akan membawa inisiatif yang lebih luas kepada operasi untuk mengukuhkan lagi industri pembayaran di Malaysia.
Secara menyeluruh, Farhan Ahamd akan menamatkan peranan beliau secara rasminya pada 31 Januari 2026 – di bawah pimpinannya, PayNet telah meraih peningkatan prestasi operasi dengan lonjakan 275% pada transaksi atas talian bersama pengukuhan sistem DuitNow. Selain itu, pelbagai inisiatif akses kewangan turut telah diperkenalkan antaranya PayNet Cambah dan PayNet Akar.