Pasaran pekerjaan di Malaysia ketika ini terus memaparkan trend peningkatan dengan pertambahan sebanyak 33,600 orang pekerja pada pasaran semasa. Pertambahan ini sekaligus menjadikan jumlah penduduk bekerja di Malaysia melonjak kepada 16.95 juta individu.
Peningkatan itu menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sekaligus telah melandaikan kadar pengangguran di Malaysia sekitar 3.0% kepada 521,000 penganggur di pasaran semasa.
Sebagai perincian, pasaran ketika ini memiliki sejumlah 12.7 juta pekerja, diikuti 3.2 juta orang bekerja sendiri, 568,000 individu pula berstatus majikan dan 465,8000 individu pula adalah kumpulan pekerja keluarga tanpa gaji.
Manakala mengikut taburan negeri pula, Selangor dan Johor dilihat terus menjadi penggerak kepada ekonomi Malaysia dengan Selangor sahaja menyumbang RM432.1 bilion kepada KDNK negara dipacu sektor Perkhidmatan dan Pembuatan yang semakin rancak. Selain kedua negeri tersebut, Perlis pula menjadi antara negeri yang berpotensi meluaskan sektor pertanian negara berikutan 65% daripada tanahnya dikhaskan buat pertanian. Usaha tersebut secara langsung membawa kepada pengukuhan tindakan keselamatan makanan dan kepelbagaian ekonomi di Malaysia.
