Artikel

Malaysia Alami Kekurangan Juruaudit Dalaman Bertauliah – Hanya 800 Profesional Berkhidmat Di Pasaran

Tanpa disedari ramai, Malaysia kini berdepan dengan satu isu kritikal iaitu pasaran negara berdepan kekurangan juruaudit dalaman bertauliah (CIA). Setakat ini hanya 800 profesional CIA yang berkhidmat di pasaran semasa – di mana angka ini amat membimbangkan susulan terdapat lebih 1,000 syarikat tersenarai awam di Malaysia.

Kekurangan ini menurut laporan bersama Institut Juraudit Dalaman Malaysia (IIAM) tidak sekadar memaparkan penurunan bakat tempatan tetapi turut meningkatkan risiko pada perlindungan melibatkan isu integriti dalam tadbir urus korporat di pasaran. Jika dahulu peranan juruaudit tertumpu kepada tindakan pematuhan dan pemeriksaan kewangan, kini peranan tersebut telah diperluas dalam memastikan sistem data dilindungi, pematuhan berkaitan ESG dan penilaian berhubung keupayaan sesebuah syarikat dalam depani tekanan ekonomi yang tidak dijangka.

Oleh itu, makluman ini sewajarnya menjadi isyarat kepada Malaysia untuk menambahbaik kapasiti kumpulan profesional tersebut. Usaha ini sekaligus dapat menjamin tahap integriti, ketelusan dan daya saing negara kekal kukuh di pasaran serantau.