Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka memerlukan sekitar 7 tahun untuk memulihkan kembali dana skim persaraan pencarum berikutan tindakan pelbagai pengeluaran khas berjumlah RM145 billion melibatkan 8.2 juta pencarum dilaksanakan pada tempoh COVID-19.
Pengeluaran itu untuk makluman merangkumi i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas.
Tempoh itu dikongsikan Kementerian Kewangan (MOF) pada sidang Dewan Negara minggu ini, ketika ini KWSP sedang berusaha membina semula simpanan pencarum dengan memberi tumpuan kepada penambahbaikan struktur sedia ada untuk pastikan pencarum menikmati pendapatan persaraan yang lebih baik.
Berlandaskan komitmen itu, kerajaan buat masa ini tiada perancangan untuk perkenalkan sebarang inisiatif baharu memandangkan struktur akaun KWSP telah dirombak semula. Seperti yang umum ketahui, kerajaan miliki perancangan untuk melaksanakan sistem pengeluaran pencen secara bulanan – di mana tindakan itu dilihat akan lebih mengukuhkan dana pada akaun. Setakat ini pertimbangan itu masih diteliti dan dijangka dapat direalisasikan dalam beberapa tahun lagi.