Artikel

Tras Kini Dilancarkan – Mudahkan Pengguna Malaysia Raih, Urus Pembiayaan Kereta Secara Digital

Mendapatkan pinjaman kereta sering kali dianggap sebagai proses yang rumit dan memakan masa. Namun, dengan pelancaran Tras hari ini, pengalaman itu dijangka akan berubah menjadi lebih mudah. Tras kini secara rasminya diperkenalkan, menjadi platform digital bersepadu pertama di Malaysia yang direka khas untuk memudahkan pembeli mendapatkan pembiayaan kenderaan dengan cara yang mudah, pantas, dan selamat.

Medium yang dimiliki dan dikendalikan oleh EON Capital ini menjelaskan ia akan membantu pengguna menghubungkan mereka bersama kumpulan pengedar kereta, dan institusi bank dalam satu ekosistem digital. Ini membolehkan pelanggan memohon pembiayaan daripada pelbagai rakan kongsi bank secara serentak dan membuat perbandingan pakej yang ditawarkan dengan mudah, semuanya melalui satu platform.

Tidak hanya itu pada sidang pelancaran hari ini, Tras turut berkongsikan pengenalan ciri CarCulator, di mana membolehkan pengguna ketahui jangkaan aliran pembiayaan mereka sebelum permohonan dilaksana.

Pengguna juga mempunyai pilihan untuk menyertai Program Jaminan Lanjutan platform ini, yang menyediakan perlindungan sehingga dua tahun melebihi jaminan standard pengeluar. Perlindungan tambahan ini mencerminkan perlindungan asal, melindungi pelanggan daripada kos pembaikan yang tidak dijangka dan memastikan keyakinan jangka panjang dalam pemilikan kenderaan mereka.

Untuk peringkat awal ini, penawaran pembiayaan sekadar tertumpu kepada kereta baharu sahaja dan terdapat sasaran untuk meluaskan pembiayaan ini bersama pasaran kenderaan terpakai. Perihal itu akan diteliti setelah kumpulan meraih pengukuhan pada permintaan tersebut.

Dengan sokongan sedemikian, ia sekaligus tidak sekadar memudahkan pengguna dalam tindakan semakan dan permohonan pembiayaan tetapi turut memberi pengguna pilihan akan pakej pembiayaan yang bertepatan dengan tahap kemampuan pengguna.  Maka untuk ketahui lanjut, semua pihak boleh layari laman Tras atau merujuk pada laman rakan perbankan terlibat seperti Bank Muamalat, AmBank dan Maybank.