Artikel

JPJ, Kementerian Digital Kini Teliti Wujudkan Undang-Undang Khas Kenderaan Swapandu

Melihat potensi peningkatan penggunaan kenderaan tanpa pemandu (swapandu) atau kenderaan autonomi di pasaran kelak – Kementerian Digital dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini memulakan perbincangan untuk wujudkan rangka kerja perundangan khusus buat kategori kenderaan tersebut. 

Keperluan dasar ini mengikut laporan yang dikongsikan pada pelancaran Makmal Forensik Kenderaan pertama di Malaysia – yang mana ia penting sebagai persediaan awal negara dalam memastikan piawaian keselamatan, infrastruktur digital dan perlindungan data di tahap terbaik di bawah penguatkuasaan undang-undang.

Pertimbangan ini juga dilihat selaras dengan komitmen Kementerian Pengangkutan (MOT) yang sebelum ini memaklumkan tindakan pindaan akan dilaksanakan untuk mengawalselia operasi kenderaan swapandu di laluan jalan raya negara. Setakat ini tiada sebarang undang-undang khusus diterapkan bagi membantu mengawal kenderaan swapandu termasuk perkhidmatan Transit Aliran Autonomi (ART).