Artikel

SME Corp, microLEAP Perkenal Skim Pembiayaan Boleh Ubah Kepada Geran Buat PKS – Berjumlah RM35 Juta

Dalam usaha memperkasakan pertumbuhan PKS yang merangkumi lebih 96% daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia – SME Corp bersama microLEAP kini menawarkan skim pembiayaaan boleh-ubah bernilai RM35 juta. Di mana menerusi skim ini para pemain ekonomi negara berpotensi terpilih menukar skim pembiayaan mereka kepada status geran.

Sejumlah RM35 juta diperuntukan pada skim ini dengan menawarkan pembiayaan berlandas syariah sehingga RM400,000 kepada PKS yang layak bersama kadar keuntungan 3.5% setahun. Jelas notis, disasarkan sekitar 40% daripada pembiayaan skim tersebut berpotensi ditukar kepada status geran.

Langkah ini menurut kedua pihak adalah untuk menyediakan akses kewangan yang bermanfaat kepada pemain ekonomi Malaysia susulan komitmen mereka dalam melaksanakan aliran pembiayaan yang berdisplin dalam pasaran negara. Manfaat berbentuk ganjaran ini sekaligus akan membantu PKS negara untuk meluaskan kapasiti perniagaan mereka di pasaran yang lebih besar.

Tindakan ini adalah sejajar dengan sasaran SME Corp untuk meningkatkan jumlah perusahaan kecil menjadi sederhana daripada 1.6% kepada 5% menjelang tahun 2030 kelak.

Melalui skim tersebut, program ini akan ini menawarkan bantuan untuk modal kerja dan penambahbaikan perniagaan, termasuk pembelian mesin dan peralatan, penerapan ESG, pensijilan produk, pengiklanan dan promosi, serta penerapan ICT. Hanya PKS dengan rekod pembayaran balik yang baik layak memohon penukaran geran sehingga 40% daripada pembiayaan mereka, tertakluk kepada kelulusan SME Corp. Malaysia.