Artikel

Ada Apa Dengan Sumud Flotilla – Misi Kemanusiaan Yang Ingin Tembusi Tembok Sekatan Israel

Sejak pelancarannya pada pertengahan 2025, nama Sumud Flotilla terus menjadi tumpuan dunia. Misi kemanusiaan ini tidak sekadar inisiatif melibatkan gerakan konvoi kapal kecil biasa (flotilla), sebaliknya ia adalah simbol ketabahan (sumud) dan penentangan masyarakat sivil antarabangsa terhadap sekatan haram Israel ke atas penduduk semenanjung Gaza, Palestine. Buat pengetahuan umum, misi ini diterajui oleh gabungan pelbagai aktivis dan NGO dari lebih 44 buah negara, dengan membawa pelbagai bantuan asas seperti bekalan makanan, ubat-ubatan, air bersih serta peralatan perubatan kritikal. 

Tembusi Sekatan Tanpa Kekerasan

Itulah objektif yang dilaungkan Global Sumud Flotilla (GSF) pada penduduk dunia, iaitu pihaknya sekadar ingin menyalurkan bantuan tanpa menggunakan kekerasan. Tetapi bagaimana matlamat ini direalisasikan berikutan Israel sejak 2007 kekal dengan pendirian agresifnya pada sekatan laut di Gaza?

Jawapannya.. kekuatan media dan jumlah armada kecil yang belayar. GSF memaklumkan ketika ini lebih 50 buah kapal telah berlayar secara serentak dari pelabuhan yang berbeza. Dengan kekuatan yang besar ini, ia dilihat berupaya membantu sebilangan kapal untuk memasuki ‘tembok sekatan’ yang dibina Israel. Malah misi kemanusiaan ini dijelaskan didokumentasi sepenuhnya oleh kumpulan wartawan dan media yang terlibat pada misi bantuan tersebut. Strategi ini secara langsung akan memberi pendedahan kepada dunia, sekiranya berlaku tindakan agresif daripada kumpulan tentera Israel.

Misi Kemanusiaan Ini Sah Di Sisi Undang-Undang

Misi ini untuk makluman secara amnya adalah sah pada peruntukan perundangan global, ini mengambilkira terma di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa di bawah Hak Kebebasan Pelayaran, semua kapal awam memiliki hak untuk belayar secara bebas di luar perairan wilayah mana-mana negara dan tindakan Israel yang mengenakan sekatan laut di Gaza atas faktor konflik bersenjata dilihat tidak mematuhi perundangan kemanusiaan antarabangsa (IHL). Ini kerana sekatan dibenarkan atas faktor peperangan namun kemasukan bantuan kemanusiaan seharusnya kekal dibenarkan untuk dibawa masuk kepada penduduk awam. Tetapi tindakan Israel dilihat sebaliknya.

Secara amnya dari sudut pandang undang-undang kemanusiaan antarabangsa, misi kemanusiaan seperti flotila yang membawa bantuan kepada penduduk awam yang terperangkap dalam konflik, adalah sah. Sebarang tindakan untuk menghalang misi ini, terutamanya jika ia berlaku di perairan antarabangsa dan melibatkan keganasan, boleh dianggap sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Dana Kemanusiaan Berupaya Bantu Bumi Palestine – Bina Semula Ekonomi Negara

Biarpun jumlah bantuan yang di bawa kapal-kapal ini tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan besar yang diperlukan penduduk Gaza – namun dana kemanusiaan ini akan menjadi titik simbolik yang kuat, yang memberi kesedaran kepada penduduk dunia bahawa pendekatan ini berupaya membantu sesebuah negara untuk pulihkan semula ekonomi mereka.

Bersama sokongan publisiti setiap sukarelawan, pendekatan ini akan membantu dan mendorong lebih banyak pihak turut sama mengumpul dana untuk bantuan kemanusiaan dan projek pembinaan semula. Aliran dana ini, pada asasnya dilihat tindakan kecil tetapi dapat membantu meringankan beban ekonomi penduduk Gaza dan menyediakan sumber yang diperlukan untuk membina semula infrastruktur yang musnah.

Beri Tekanan Kepada Israel Untuk Runtuhkan Tembok Sekatan Haram

Melalui tindakan flotila ini, masyarakat sivil antarabangsa secara tidak langsung memberikan tekanan diplomatik dan ekonomi ke atas Israel. Sekiranya flotila dihalang atau diserang, ia akan mencetuskan kecaman antarabangsa yang serius. Tekanan ini boleh membawa kepada tindakan diplomatik seperti penarikan duta atau sekatan ekonomi. Walaupun tindakan ini tidak selalu berlaku, risiko tersebut boleh menjejaskan hubungan ekonomi Israel dengan negara lain. Sebagai contoh, sesetengah negara mungkin mempertimbangkan untuk menyemak semula perjanjian perdagangan atau mengurangkan pelaburan mereka, yang akan memberikan kesan negatif kepada ekonomi Israel.

Secara ringkasnya, meskipun Sumud Flotilla bukan misi ekonomi secara langsung, namun ia adalah satu tindakan yang penuh makna yang membawa pelbagai implikasi ekonomi. Ia adalah satu cara untuk menekan pihak yang berkuasa, membina sokongan global, dan akhirnya membuka jalan bagi pemulihan ekonomi di Gaza.


Gerakan yang dibawa Global Sumud Flotilla secara menyeluruhnya wajar diberi pengiktirafan. Misi ini telah menuntut lebih banyak media global untuk sekali lagi menumpukan perhatian kepada Gaza. Selain itu ia turut memberi tekanan kepada kerajaan di seluruh dunia untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap Israel.

Bagi kita di Malaysia, gerakan GSF ini adalah cerminan semangat kemanusiaan yang mendalam. Ia adalah peringatan bahawa walaupun konflik berlaku jauh dari pandangan kita, penderitaan manusia adalah sesuatu yang kita semua harus peduli. Misi ini mungkin tidak akan menyelesaikan konflik sepenuhnya, tetapi ia pasti akan meninggalkan kesan mendalam dan membawa harapan kepada mereka yang paling memerlukannya. 

Persoalannya adakah kapal-kapal ini akan berjaya menembusi sekatan? Atau adakah sejarah akan berulang sebagaimana yang berlaku ke atas misi kapal Mava Marmara pada 2010? Hanya masa yang akan menentukan. Apa yang pasti, keberanian yang ditunjukkan oleh para sukarelawan adalah satu inspirasi yang tidak ternilai.