Artikel

Rumah Bernilai Bawah RM300,000 Paling Banyak Tidak Terjual Di Malaysia – NAPIC

Untuk tempoh 6 bulan pertama tahun 2025 ini, ternyata kediaman berharga bawah RM300,000 telah menjadi nilai rumah yang paling banyak tidak terjual di Malaysia.

Data di bawah Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2025 oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) ini menjelaskan jumlah rumah yang siap dibina namun tidak terjual itu merekodkan jumlah sebanyak 9,710 unit (36.1%) dengan nilai RM2.3 bilion daripada jumlah menyeluruh untuk tempoh Januari sehingga Jun 2025.

Sementara kategori rumah bernilai RM300,000 sehingga RM500,000 pula menjadi unit kedua tertinggi tidak terjual melibatkan 7,125 unit (26.5%) daripada jumlah menyeluruh. Manakala kediaman bernilai RM500,000 sehingga RM1 juta pula memaparkan sekitar 6,951 unit (25.8%) tidak terjual dan 3,125 unit (11.6%) pula melibatkan jumlah unit bernilai lebih RM1 juta tidak terjual.

Rekod ini sekaligus menyimpulkan sekitar 62.6% rumah yang siap dibina tidak terjual adalah kediaman yang bernilai bawah RM500,000 untuk tempoh 6 bulan 2025. Keadaan ini antara lain, memperlihatkan pengguna kekal berhati-hati dalam meluaskan komitmen mereka khususnya untuk mendepani tekanan kos pada pasaran semasa. Tetapi pasaran hartanah Malaysia dilihat kekal stabil susulan aliran permintaan masih lagi tinggi dan akan meningkatkan secara berkala kelak, prestasi ini dijangka akan terus disokong hasil pembangunan infrastruktur semasa yang lebih baik meliputi kemudahan awam dan jajaran jalan raya.

Sebagai perincian, pemintaan rumah di Malaysia kekal tertumpu kepada rumah jenis teres (41%), tanah kosong (19.3%), rumah unit bertingkat tinggi (17.9%), rumah berkembar (7.3%), rumah sebuah (6%), dan rumah atau flat kos rendah (6%). Dan biarpun unit rumah bawah RM300,000 jadi jumlah tertinggi yang tidak terjual namun harga rumah ini kekal menguasai pasaran kediaman di Malaysia dengan peratusan 53.1%.

Secara menyeluruh, untuk separuh pertama 2025 – sebanyak 26,911 unit rumah dengan nilai RM16.44 bilion didapati telah siap namun tidak terjual. Jumlah ini untuk makluman menunjukkan berlakunya peningkatan 16.3% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.