Artikel

Bahasa Isyarat, Teknologi Dan Digital – Antara Subjek Baharu Akan Diperkenal Di Sekolah Pada 2027

Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) akan memperlihatkan beberapa tindakan baharu – antaranya penambahan subjek Bahasa Isyarat (BIM) dan Teknologi & Digital untuk kumpulan pelajar sekolah rendah dan menengah di Malaysia. 

Jelas makluman Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), subjek Bahasa Isyarat akan dijadikan sebagai mata pelajaran tambahan kepada pelajar sekolah rendah Tahun 5 dan 6, diikuti pelajar sekolah menengah bawah dan atas. Namun subjek ini akan dijadikan wajib ke atas kumpulan pelajar MBPK – Murid Berkeperluan Pendidikan Khas.

Begitu juga subjek Teknologi dan Digital akan menjadi mata pelajaran baharu di bawah KP2027 – di mana subjek ini akan menggantikan mata pelajaran sedia ada iaitu Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dan Asas Sains Komputer (ASK), dengan tindakan penyatuan kedua elemen subjek tersebut. Menerusi pengenalan subjek ini, ia secara langsung melengkapkan matlamat negara dalam menghasilkan bakat teknologi di peringkat sekolah lagi.

Secara menyeluruh, pengenalan KP2027 ini dijelaskan akan bermula pada 2026 untuk pendidikan prasekolah, sebelum dilaksana secara menyeluruh pada peringkat sekolah rendah (tahun 1) dan sekolah menengah (tingkatan 1) pada 2027. Selain subjek tambahan seperti Bahasa Isyarat dan Teknologi & Digital, terdapat juga pengenalan subjek tambahan seperti Bahasa Arab Komunikasi dan subjek Pembelajaran Bersepadu di bawah KP2027.