Artikel

Touch ‘n Go Nyata Komitmen Ikrar Bebas Rasuah – Perkukuh Integriti Bersama Lebih 24 Juta Pengguna

Selaku medium yang menyediakan khidmat kewangan bersama kemudahan pengurusan dan transaksi harian dengan lebih 24 juta pengguna di seluruh Malaysia – Touch ‘n Go (TNG) Digital hari ini secara rasminya menyatakan komitmen ikrar bebas rasuah kumpulan secara sukarela bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Langkah itu adalah sebahagian komitmen kumpulan dalam memastikan amalan integriti kekal diterapkan dalam operasi syarikat, tidak sekadar membina kepercayaan bersama pengguna bahkan melibatkan sekitar 2 juta peniaga di bawah perkhidmatan. Buat pengetahuan umum, pelaksanaan itu dicapai setelah TNG Digital melalui bengkel anti-rasuah selama 3 hari bersama sokongan SPRM. Inisiatif itu juga adalah selaras dengan agenda negara di bawah Strategi Nasional Pembanteras Rasuah (NACS) 2024-2028.

Selain mengukuhkan amalan tersebut, TNG Digital turut miliki perancangan meluaskan kerjasama secara aktif dengan pihak berkuasa dan pengawal selia bagi meningkatkan lagi kesedaran berhubung tingkah laku pada ekosistem ekonomi digital di Malaysia. Dengan matlamat itu, ia sekaligus akan meningkatkan tahap keselamatan arena atas talian menjadi lebih bertanggungjawab, telus dan adil di masa hadapan.