Artikel

MOF: Pendapatan Kripto Dikenakan Cukai Di Bawah Akta Cukai Pendapatan, Ini Perinciannya

Kementerian Kewangan (MOF) mengesahkan bahawa pendapatan yang dijana daripada urus niaga mata wang kripto di Malaysia adalah tertakluk kepada cukai pendapatan di bawah Seksyen 4 Akta Cukai Pendapatan 1967. Ini berikutan mata wang digital diklasifikasikan sebagai komoditi yang boleh dianggap sebagai pendapatan perniagaan.

Kadar Cukai Bergantung Kepada Keaktifan Urus Niaga

Menurut MOF, penetapan ini selari dengan amalan percukaian di peringkat antarabangsa. Walau bagaimanapun, kadar pengenaan cukai bergantung kepada keaktifan perdagangan mata wang digital tersebut. Ini bermakna, individu atau syarikat yang kerap menjalankan urus niaga kripto mungkin tertakluk kepada pengenaan cukai yang lebih ketat berbanding mereka yang berdagang secara tidak aktif.

Mengapa Luno Sekadar Bayar RM2.8 Juta, Tatkala Jana Untung RM254 Juta

Penjelasan ini diperincikan pada notis lisan Parlimen, susulan persoalan awam tentang mengapa platform seperti Luno Malaysia hanya melunaskan cukai berjumlah RM2.8 juta bagi tempoh 2019 hingga 2024, walhal ia dilaporkan menjana pendapatan sekitar RM254 juta.

MOF menjelaskan bahawa pengiraan cukai pendapatan tidak semata-mata didasarkan pada jumlah keuntungan kasar. Sebaliknya, ia dikira berdasarkan pendapatan bercukai (taxable income) selepas mengambil kira perbelanjaan yang dibenarkan. Oleh itu, jumlah cukai yang dibayar oleh Luno adalah hasil pengiraan yang kompleks serta melibatkan perolehan pelepasan tertentu, bukan sekadar peratusan daripada keuntungan keseluruhan.

Selain itu, maklumat jumlah cukai yang dibayar oleh syarikat adalah maklumat sulit dan tertakluk kepada Seksyen 138 Akta Cukai Pendapatan 1967. Peruntukan kerahsiaan ini adalah amalan kebiasaan di peringkat antarabangsa dan bertujuan untuk melindungi privasi pembayar cukai.

Perkhidmatan Digital Turut Dikenakan Cukai Perkhidmatan

MOF turut memaklumkan bahawa selain cukai pendapatan, platform seperti Luno Malaysia juga dikenakan cukai perkhidmatan di bawah Peraturan-Peraturan Cukai Perkhidmatan 2018. Ini kerana mereka menyediakan perkhidmatan digital kepada pengguna di Malaysia, sejajar dengan langkah kerajaan untuk memastikan layanan cukai yang setara antara penyedia perkhidmatan tempatan dan luar negara.