Hasil sokongan permintaan yang kekal kukuh, disusuli kecekapan perkhidmatan yang bertambah baik – Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini mengumumkan prestasi kewangannya bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, dengan mencatatkan pulangan sebanyak RM2.2 bilion.
Berdasarkan perincian lanjut, perolehan ini juga disumbang oleh keuntungan terjemahan pertukaran asing sebanyak RM350.6 juta, terutamanya berikutan pengukuhan ringgit, daripada RM4.47/USD pada Disember 2024 kepada RM4.21/USD pada Jun 2025.
Rakyat, Negara Raih Pulangan Dividen Bersama TNB
Dengan prestasi yang stabil itu, TNB mengisytiharkan dividen interim sebanyak 25 sen sesaham, selaras dengan dasar dividen syarikat.
Pengagihan ini melibatkan anggaran sejumlah RM1.5 bilion dalam bentuk dividen, akan diagihkan kepada pemegang saham TNB dengan hampir 60% akan disalurkan kepada institusi pelaburan berkaitan kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
Ini mencerminkan komitmen berterusan TNB untuk menjana pulangan kepada pemegang saham dan seterusnya rakyat, dengan jutaan rakyat Malaysia mendapat manfaat melalui pencen dan simpanan.
TNB Labur RM5.2 Bilion – Pacu Permintaan Tenaga Di Malaysia
Lebih menarik, bagi memastikan rakyat Malaysia terus menikmati bekalan elektrik yang stabil dan selamat, TNB kini mengukuhkan lagi strategi teras perkhidmatan mereka dengan memanfaatkan kepercayaan pengguna melalui perluasan pelaburan.
Pada tempoh 6 bulan pertama ini, TNB telah melabur sebanyak RM5.2 bilion pada projek berkaitan kebolehpercayaan bagi memenuhi pertumbuhan permintaan, keselamatan bekalan dan peralihan tenaga di pasaran Malaysia.


Ini didorong hasil permintaan maksimum baharu yang direkodkan sejak Mei lalu sebanyak 21,049MW, sekaligus menekankan kepentingan pelaburan ini. Usaha dalam aspek ini juga telah membawa kepada penambahbaikan jelas apabila prestasi Indeks Tempoh Masa Purata Gangguan Sistem (SAIDI) meningkat kepada 23.56 minit bagi setiap pelanggan pada 1H 2025 berbanding 23.92 minit pada tahun lalu.
TNB Komited Bentuk Komuniti – Dengan Sokongan Digital Pada Pendidikan, Kebajikan
TNB terus menunjukkan komitmennya terhadap tanggungjawab sosial korporat melalui pelbagai inisiatif yang menyokong masyarakat, pendidikan, dan pembangunan lestari. UNITEN, sebagai sebahagian daripada TNB, akan menawarkan program Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) bermula September ini untuk memenuhi permintaan industri serta mempersiapkan graduan bagi ekonomi digital dan lestari. Selain itu, TNB menyumbang RM5.4 juta dalam bentuk zakat kepada lebih 21,500 penerima asnaf, termasuk sokongan perumahan, pembaikan rumah, dan bantuan untuk institusi keagamaan.



Sepanjang separuh pertama tahun 2025 ini juga TNB telah menyalurkan RM99.7 juta untuk inisiatif komuniti lain. Ini termasuk sokongan pendidikan berjumlah RM64.3 juta kepada 1,515 pelajar melalui UNITEN dan YTN, dan RM3 juta kepada 276 pelajar kurang berkemampuan. Syarikat ini juga menyalurkan RM2.5 juta untuk bantuan makanan dan program komuniti, serta RM335,000 untuk inisiatif penjagaan kesihatan. Bantuan bencana sebanyak RM541,250 disalurkan kepada mangsa banjir dan pelarian. Selain itu, TNB menyumbang lebih RM4.8 juta untuk pembangunan sukan hoki dan melabur dalam projek tenaga hijau seperti pemasangan bumbung solar dan lampu jalan berkuasa solar di pelbagai lokasi komuniti dengan peruntukan sebanyak RM2.53 juta.
Dengan komitmen sedemikian, prestasi ini akan membantu TNB membina ekosistem tenaga moden, berdaya harap dan mampan, sejajar dengan strategi Reimagining TNB 2.0.
Buat pengetahuan umum komitmen ini turut meraih pengiktirafan Brand Finance pada Julai 2025 lalu – menjadikan TNB selaku jenama utiliti kedua terkukuh di dunia dan jenama utiliti nombor satu ASEAN, dengan nilai jenamanya meningkat 35% kepada USD2.3 bilion serta menerima penarafan AAA. Pencapaian ini bukan sahaja menunjukkan asas kukuh dan kepercayaan terhadap kepimpinan TNB, tetapi juga kesediaannya untuk memacu pertumbuhan jangka panjang serta membangunkan ekosistem tenaga yang mampan dan inklusif.