Pihak berkuasa Singapura hari ini telah mengumumkan langkah yang lebih tegas terhadap warga asing sekiranya didapati menggunakan rokok elektronik (vape) di dalam negara mereka. Di mana mulai 1 September ini, pesalah berulang berisiko tinggi menghadapi hukuman serius, termasuklah pembatalan pas dan larangan memasuki semula Singapura.
Mengikut laporan, makluman yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura ini menjelaskan, hukuman ini akan diperketat berdasarkan jenis pas yang dimiliki oleh warga asing. Bagi pesalah kali pertama, tindakan yang diambil adalah perampasan alat vape dan denda. Namun, bagi pesalah berulang, hukuman akan menjadi jauh lebih berat.
Antaranya untuk kesalahan berulang – pemegang pas lawatan jangka pendek, jika didapati bersalah maka kumpulan ini akan dilarang daripada memasuki Singapura semula. Berbeza dengan pemegang pas jangka panjang seperti pas pelajar, permit kerja dan pas tanggungan – kumpulan ini hanya akan berdepan tindakan larangan masuk dan pembatalan pas jika melakukan kesalahan berulang tersebut kali ke-3.
Tindakan ini dijelaskan bertujuan untuk memelihara kesejahteraan penduduk Singapura di samping memiliki tahap kesihatan yang baik. Melihat pada makluman tersebut, diharap semua pihak termasuklah rakyat Malaysia untuk lebih peka akan pelaksanaan perundangan baharu ini.