Menerusi pindaan Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78), kerajaan kini bercadang menambahbaik sistem perekodan data biometrik rakyat Malaysia. Antara yang dicadangkan adalah mengimbas muka, anak mata dan 10 cap jari.
Buat pengetahuan umum, mengikut pelaksanaan rekod data biometrik pada peruntukan Akta 78 semasa – Malaysia hanya mengunakan pendekatan pengambilan foto, cap ibu jari sahaja. Melihat pada tindakan itu, penambahbaikan wajar dilaksanakan untuk menyediakan data biometrik rakyat yang lebih lengkap.
Perihal ini menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Datusk Seri Anuar Nasarah pada sesi penggulungan RUU Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025, perlu dipertimbangkan untuk memastikan tahap keselamatan rakyat negara dapat disesuaikan pada persekitaran semasa yang kini terdedah pada risiko teknologi yang lebih tinggi. Tindakan itu juga memiliki potensi meningkatkan tahap keselamatan dan kerahsiaan makluman berkaitan rekod pengenalan diri rakyat Malaysia.
Cadangan itu dilihat bertepatan dengan matlamat negara untuk mengeluarkan kad pengenalan generasi baharu bersama ciri keselamatan yang lebih baik serta penerapan MyDigital ID. Buat pengetahuan umum, ketika ini rakyat menggunakan kad pengenalan fizikal yang telahpun diperkenalkan sejak 2012. Mengambil kira tempoh tersebut, adalah wajar untuk penampilan kad pengenalan baharu buat rakyat Malaysia.