Artikel

Hanya 1.6 Juta Rakyat Malaysia Manfaatkan Akses Saringan Kesihatan Percuma PeKa B40 

Kadar penggunaan akses saringan kesihatan percuma menerusi Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) kini dilihat kekal rendah – apabila hanya 1.6 juta rakyat Malaysia daripada kalangan B40 sahaja yang memanfaatkan akses percuma tersebut. 

Buat pengetahuan, akses ini telahpun diperkenalkan sejak tahun 2019 kepada 6.9 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi memberi kesedaran akan kepentingan laksana semakan awal tahap kesihatan individu. Ini meliputi saringan kesihatan asas percuma seperti pemeriksaan fizikal, ujian darah, air kencing serta memiliki dua sesi konsultasi bersama doktor.

Mengikut laporan bersama ProtectHealth Corp, kadar penggunaan yang lebih rendah ini didorong akan faktor kekangan masa, keutamaan terhadap tugas pekerjaan, kebimbangan kos rawatan serta masih terdapat segelintir rakyat tidak terbuka dengan awalan pemeriksaan kesihatan awal.

Perihal ini sekaligus menuntut semua pihak untuk meluaskan lagi tahap kesedaran akan peranan skim ini, di samping kepentingan memulakan amalan pemeriksaan kesihatan awal. Dengan pendedahan tersebut, situasi ini dapat membantu rakyat pendapatan rendah untuk mengenalpasti penyakit berisiko di peringkat awal.