Artikel

Impak Sentimen Pengguna Rendah – Berjaya Food Kini Catat Rugi Besar, Hampir RM300 Juta

Berjaya Food terus berdepan tahap kerugian yang lebih besar apabila prestasi kewangan setakat Jun 2025 menunjukkan kerugian bersih yang diraih kumpulan adalah sebanyak RM291.9 juta. Tahap kerugian jelas menunjukkan peningkatan ketara berlaku berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu sekitar RM90.9 juta.

Malah kumpulan juga menurut notis Bursa Malaysia ini turut kehilangan hampir 37% pendapatan kepada RM476.8 juta sahaja berbanding sebelum ini dengan rekod pendapatan RM750.7 juta.

Persekitaran ini berlaku kesan sentimen pengguna yang kekal rendah akan konflik yang berlaku di Asia Barat sekaligus menjejaskan tabiat berbelanja kalangan pengguna untuk produk di bawah Berjaya Food. Kesan tersebut antaranya dapat diperlihat pada jenama seperti Starbucks, di mana terdapat pengurangan operasi Starbucks Malaysia dilaksanakan bagi mengimbangi kadar kerugian tersebut.

Biarpun masih berdepan cabaran dalam mengembalikan permintaan pengguna, Berjaya Food optimis untuk menambahbaik situasi tersebut dengan merancang mengukuhkan perniagaan teras mereka di samping meluaskan jejak jenama di pasaran global baharu.