Artikel

Malaysia Kini Miliki 2.14 Juta Pekerja Asing – Bangladesh, Indonesia Antara Tertinggi

Pasaran kerja di Malaysia kini merekodkan seramai 2,144,789 pekerja asing yang bertugas pada pasaran buruh tempatan setakat Jun 2025. Jumlah ini dilihat kekal terkawal berikutan alami penurunan berbanding rekod Disember 2024, yang mencatatkan jumlah seramai 2.36 juta pekerja asing.

Data yang dikongsikan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) pada notis lisan Parlimen ini, turut menjelaskan ketika ini terdapat 15 buah negara sumber yang membekalkan pekerja asing ke Malaysia. Berdasarkan data itu, Bangladesh kekal jadi negara tertinggi dengan 803,322 individu, Indonesia (543,514 individu), Nepal (332,712 individu), Myanmar (173,630 individu), dan India (106,929 individu).

Seperti yang umum ketahui, jumlah terkawal ini didasari akan tindakan Malaysia sejak pertengahan Mac 2023 – yang bertindak membekukan kuota pengambilan pekerja asing baharu di pasaran negara. Hanya sebilangan sektor sahaja memiliki kelonggaran dalam pengambilan tenaga kerja asing.