Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) hari ini secara rasminya memulakan Simposium Resolusi Kebangsaan (NRS) untuk kali ketiga. Acara ini bertujuan untuk mengumpulkan pelbagai pihak bagi memperkukuh kesediaan dan ketahanan sistem kewangan Malaysia dalam menghadapi sebarang krisis.
Selaku pihak berkuasa yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah institusi kewangan, PIDM akui pihaknya perlu memastikan sebarang krisis kewangan yang tercetus dapat diuruskan dengan lancar, tanpa menyebabkan gangguan besar kepada orang ramai dan sistem kewangan. Berlandaskan komitmen itu, PIDM telah bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) membangunkan Rangka Kerja Perancangan Pemulihan dan Resolusi (RRP). Di bawah rangka ini terdapat program pemulihan dan penyelesaian dibentuk untuk membantu pengguna kewangan semasa.
Peranan di bawah kerangka itu, BNM bertanggungjawab memastikan institusi kewangan mempunyai rancangan untuk pulih daripada tekanan kewangan. Ini termasuk langkah-langkah untuk menangani masalah kewangan dan mengembalikan daya maju syarikat tanpa bantuan luar. Sementara PIDM di bawah peranan penyelesaian pula adalah untuk meminimumkan gangguan kepada orang ramai, melindungi pendeposit, dan mengekalkan keyakinan terhadap sistem kewangan secara keseluruhan.
Dengan usaha tersebut, PIDM melihat usaha sedemikian dapat diperluaskan pada sidang simposium minggu ini dengan menyasarkan pengumpulan data bersama pemain industri pasaran. Buat pengetahuan umum, hampir 500 peserta menghadiri simposium anjuran PIDM yang ketiga ini, termasuk pemimpin kanan institusi kewangan tempatan, pengawal selia serantau serta pakar antarabangsa dalam bidang penyelesaian dan pengurusan krisis.