Seiring dengan matlamat pentadbiran untuk perkenalkan langkah penyasaran subsidi RON95 pada akhir September kelak – kini terdapat pertimbangan untuk kerajaan menyemak semula Kaedah Harga Automatik (APM) yang dilaksanakan dalam menentukan harga bahan api, bagi mengimbangi semula tekanan kos yang didepani pengusaha stesen minyak dan syarikat petroleum.
Pertimbangan itu menurut laporan sedang diteliti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ini dilaporkan akan dikemuka kepada Kementerian Kewangan (MOF) dalam tempoh terdekat.
Bersama pendekatan itu, ia sekaligus akan membantu pemain industri untuk bersedia akan sebarang peningkatan kos infrastruktur susulan peranan stesen minyak akan alami perubahan setelah penyasaran subsidi RON95 ini direalisasikan – di mana kumpulan ini perlu menguruskan sistem dua harga yang berbeza.
Tindakan ini dilihat juga dapat memastikan penetapan harga bahan api kekal relevan dan adil dalam mendepati perubahan kos operasi dan pelaksanaan dasar ekonomi baharu seperti penyasaran subsidi.