Artikel

Ryt Bank Kini Secara Rasminya Dilancarkan – Jadi Bank Digital Dikuasakan AI Pertama Di Malaysia

Hasil kebersamaan YTL Group dan Sea Limited selaku pemegang ke-5 lesen bank digital di pasaran Malaysia – Ryt Bank kini secara rasminya dilancarkan kepada semua pengguna negara, menjadikan ia bank digital yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI) pertama di pasaran negara. 

Pelancaran hari ini meyaksikan pelbagai ciri kemudahan tersedia buat pengguna Malaysia – antara meraih pulangan simpanan sehingga 4% setahun, pulangan tunai khas bagi transaksi bersama Ryt AI bersempena pelancaran, berpeluang miliki edisi terhad kad fizikal Ryt Bank dan terbaharu Ryt Bank turut menyediakan akses Ryt PayLater bagi memudahkan pembiayaan bersama pengguna pada aliran perbelanjaan mereka.

Tidak hanya itu, Ryt Bank turut memaklumkan penyediaan pilihan bahasa akan disertakan pada September 2025 ini – ia merangkumi pilihan Bahasa Malaysia, English dan Mandarin. Dengan adanya akses ini ia tidak sekadar memudahkan pengguna tetapi turut memberi pengalaman yang lebih lancar pada khidmat kewangan.

Selain akses sedemikian, aplikasi Ryt Bank ini turut menyediakan bahagian aliran masuk perolehan ganjaran secara khusus. Di mana para pengguna boleh ketahui aliran masuk ganjaran secara tunai mahupun kadar faedah bagi setiap transaksi atau sebarang penambahan pulangan simpanan yang dilakukan.

Untuk makluman umum, Ryt Bank adalah bank digital yang tertakluk di bawah perlesenan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK) – ini bermakna penawaran perkhidmatan tidak mengikuti piawaian syariah. Secara menyeluruh dengan makluman pelancaran ini, secara langsung telah melengkapkan kumpulan penerima lesen bank digital yang sah di pasaran Malaysia.