Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Program Perkhidmatan Farmasi (PSP) kini sedang melaksanakan projek rintis menguji aplikasi penjejak harga ubat, yang dikenali sebagai MyPriMe Catcher (The Malaysia Medicine Price Guide).
Projek ini mengikut laporan CodeBlue adalah jawapan KKM untuk mengatasi isu utama yang didepani pengguna berhubung tahap ketelusan serta perbezaan harga ubat-ubatan di klinik dan hospital swasta.
Setakat ini kementerian di fasa pengumpulan data harga ubat-ubatan daripada pembekal dan kumpulan persatuan untuk menyerahkan data harga ubat secara sukarela selama tempoh setahun buat pengamatan aplikasi. Namun berdasarkan laporan, pendekatan tersebut dilihat tidak mendapat sambutan yang baik susulan sebilangan persatuan kesihatan menolak kerjasama tersebut. Antaranya ialah Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia, Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Selangor dan Kuala Lumpur serta Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Malaysia.
Mereka mimelihat tindakan pengumpulan data tersebut secara langsung akan membawa kepada pelarasan harga ubat yang lebih rendah dan berpotensi membuka risiko kepada rawatan sendiri dalam kalangan pengguna. Persatuan berkaitan menegaskan ubat bukanlah barangan runcit yang wajar disenaraikan pada aplikasi pasaraya dan tindakan pengumpulan data itu dilihat bercanggah dengan amalan perubatan berikutan segala perolehannya perlu mendapatkan nasihat profesional.