Bermula hari ini, semua rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas boleh mula menyemak kelayakan masing-masing bagi menerima RM100 Sumbangan Asas Rahmah (SARA) secara one-off yang diumumkan kerajaan sempena sambutan Hari Kebangsaan kelak, 31 Ogos 2025.
Berdasarkan tindakan itu, dijangka seramai 22 juta pemegang MyKad akan dapat menikmati manfaat ini, susulan tiada pendaftaran atau permohonan perlu dibuat kerana kelayakan ini adalah secara automatik berdasarkan data pemegang MyKad Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Semakan kelayakan ini dijelaskan notis MOF – boleh dibuat melalui portal rasmi STR di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), portal MyKasih atau talian bantuan yang disediakan. Dengan pemberian kredit tunai itu, dijangka pengguna berkelayakan boleh membelanjakan dana tersebut di lebih 7,300 premis runcit yang berdatar dengan akses pembelian ke atas lebih 100,000 barangan keperluan pada 14 kategori. Ini termasuklah seperti beras, telur, barangan kebersihan, ubat-ubatan dan barangan persekolahan.