Artikel

FWD Dan BSN Perkenal Qaseh Setia, Pelan Insurans Inklusif Fokus Buat B40 – Serendah RM0.20 Sehari

Untuk terus mengukuhkan kestabilan akses kewangan kepada semua lapisan masyarakat Malaysia khususnya kumpulan pendapatan rendah B40, FWD Insurance dan Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini secara rasminya melancarkan Qaseh Setia iaitu pelan mikroinsurans mampu milik serendah RM0.20 sehari. 

Buat pengetahuan, pelan ini telahpun melindungi lebih 20,000 individu berikutan pengenalan awalnya yang dilaksanakan pada April 2025 lalu. Menerusi  akses ini para pengguna dapat meraih manfaat penting seperti perlindungan sehingga RM90,000 bagi kematian akibat kemalangan. Bagi kematian bukan akibat kemalangan dan hilang upaya kekal menyeluruh pula, perlindungan sehingga RM15,000 juga disediakan. Selain itu sokongan tunai kesan kehilangan orang tersayang turut dilampirkan iaitu sekitar RM3,000 untuk menampung kos pengebumian.

Secara menyeluruh, pengenalan skim ini adalah bertepatan dengan skim perlindungan Tenang yang dilaksanakan negara bersama sokongan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan (MOF) sejak awal tahun lalu. Untuk ketahui maklumat lanjut semua pihak boleh rujuk pada cawangan BSN berdekatan atau layari laman rasmi kedua pihak.