Artikel

Malaysia Akan Gubal Akta Pendidikan Awal Kanak-Kanak – Mahu Seragamkan Pendidikan Prasekolah

Sebagaimana yang disasarkan oleh negara untuk miliki sebuah ekosistem pendidikan yang lengkap di Malaysia – kelak satu akta baharu berkaitan pendidikan awal kanak-kanak akan digubal untuk pastikan langkah kawalselia dapat dilaksana secara menyeluruh pada sektor pendidikan.

Langkah ini adalah selaras dengan matlamat Malaysia untuk mewajibkan pendidikan prasekolah seawal 5 tahun dan pendidikan sekolah menengah sehingga perolehan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak. Jelas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada sidang Parlimen, komitmen itu bertepatan dengan agenda negara untuk memastikan hak pendidikan selama 11 tahun ke atas anak-anak di Malaysia terpelihara demi manfaat mereka di masa hadapan.

Sementara pendidikan di tahap Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula akan terus dikekalkan sebagai kategori pensijilan prauniversiti yang bertaraf antarabangsa. Setakat ini, sektor pendidikan Malaysia menerima kemasukan sehingga 55,000 pelajar setiap tahun pada aliran STPM.

Melihat pada peningkatan kemasukan tersebut, pelbagai inisiatif akan diteruskan untuk menarik minat lebih ramai pelajar lepasan SPM jadikan STPM sebagai saluran pengajian selanjutnya. Tindakan itu dijelaskan akan tertumpu di bawah Pelan Hala Tuju Pendidikan Tingkatan 6 2024-2030.