Ryt Bank, penerima lesen bank digital ke-5 di pasaran Malaysia kini tampil dengan notis baharu dengan memaklumkan pelancaran secara rasmi khidmat perbankan digital bersama pengguna Malaysia – akan direalisasikan pada 26 Ogos 2025 ini. Maka, ke arah pengenalan khidmat kewangan bersama pengguna awam ini akan perlihatkan penawaran faedah sehingga 4% setahun disediakan bagi tindakan simpanan yang dilaksanakan para pengguna.
Jelas Ryt Bank, penawaran pulangan ini tertakluk pada tempoh 18 Ogos sehingga 30 November 2025 dengan dihadkan kepada RM20,000 pertama daripada baki simpanan pengguna di Save Pocket. Ini bermakna jumlah yang melebihi had tersebut sekadar meraih pulangan faedah asas iaitu sebanyak 3% setahun.
Berdasarkan makluman itu, kini terdapat sebilangan pengguna terpilih telahpun mula raih akses awal untuk menikmati pengalaman perkhidmatan bersama Ryt Bank. Antara perkhidmatan yang tersedia adalah sistem pembualan yang dikuasakan AI, berpeluang miliki edisi terhad kad fizikal Ryt Bank dan terima pulangan tunai dengan transaksi bersama Ryt AI.
Lebih menarik, pada tinjauan Rnggt pada penggunaan awal khidmat Ryt Bank ini, aplikasi ini tidak sekadar miliki segmen pemantauan perbelanjaan tetapi turut menyediakan segmen aliran perolehan ganjaran secara khusus. Ini bermakna para pengguna boleh ketahui aliran masuk ganjaran secara tunai mahupun kadar faedah bagi setiap transaksi serta penambahan simpanan yang dilakukan.
