Artikel

Cukai Karbon Kini Diteliti, Berpotensi Laksana Secara Berperingkat Mulai 2026 – MOF

Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) kini dalam tindakan mengkaji keupayaan melaksanakan cukai karbon pada pasaran Malaysia. Langkah itu dimaklumkan berpotensi dilaksana secara berperingkat mulai tahun hadapan, 2026. 

Penjelasan yang dikongsikan Timbalan Menteri MOF Amir Hamzah pada sidang Parlimen ketika penutupan perbahasan RMK-13 hari ini memperincikan keperluan cukai itu perlu didasari akan kemampuan industri untuk menampung kos tambahan. Dimaklumkan peringkat awal akan tertumpu kepada sektor berintensiti tinggi seperti besi, keluli dan tenaga.

Dengan pengenalan cukai baharu tersebut, ia dilihat tidak sekadar menyokong agenda dekarbonisasi industri dan melindungi eksport negara daripada kesan Mekanisme Penyesuaian Sempadan Karbon (CBAM) Kesatuan Eropah (EU).

Mengikut pasaran semasa, didapati negara seperti Korea Selatan, Kanada, UK, Norway, Jepun, Singapura dan Indonesia telahpun dan sedang dalam proses perkenalkan cukai karbon pada aliran perdagangan. Melihat pada tindakan itu, kumpulan negara ini akan menjadi tumpuan Malaysia berhubung tindakan pengenalan cukai karbon di pasaran negara kelak.