Artikel

Bolt Kini Perkenal Khidmat Seru-Pandu Perniagaan Di Malaysia

Bolt, platform mobiliti antarabangsa kini secara rasminya telah melancarkan Bolt Business di pasaran Malaysia – iaitu menawarkan khidmat seru-pandu buat kemudahan perniagaan di negara. Dengan akses ini, ia sekaligus dapat membantu syarikat mengelakkan kerumitan khususnya pada proses tuntutan manual dan pengurusan perjalanan pekerja. 

Berdasarkan pelancaran itu, dengan ciri khidmat ini syarikat boleh menetapkan had perjalanan, peruntukan kos, menjejaki penggunaan, dan mengakses laporan masa nyata perjalanan daripada satu akaun. Ini membantu bahagian kewangan dan sumber manusia memperkemaskan pengurusan perbelanjaan, mengurangkan beban dokumentasi, serta membuat keputusan yang lebih bijak berasaskan data tentang mobiliti perniagaan bersama pekerja mereka. 

Dengan matlamat memudahkan kelancaran bersama pemain perniagaan, Bolt menyasarkan akses ini turut dapat membantu membentuk ekosistem mobiliti bandar yang lebih saling berhubung, telus dan inklusif selaras dengan keperluan sebenar tenaga kerja dan bandar-bandar di Malaysia yang dilihat semakin berkembang.