Setelah berdepan penurunan prestasi pada 3 bulan pertama 2025, kini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memaparkan peningkatan prestasi pada pendapatan pelaburan kepada RM38.92 bilion untuk separuh pertama 2025.
Peningkatan 3% untuk tempoh 6 bulan ini jelas KWSP didorong hasil lonjakan prestasi pada suku kedua 2025 dengan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM20.61 bilion telah dicapai – di mana naik sebanyak 22%.
Pada pengamatan menyeluruh, KWSP menjelaskan ekuiti kekal selaku penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan dengan mencatat RM13.77 bilion, meningkat 35% berbanding RM10.23 bilion pada suku tahun lalu. Diikuti kesan persekitaran yang lebih stabil bersama prestasi domestik yang kukuh dan pengurusan portfolio yang berdisplin turut menjadi pemacu kepada segmen pendapatan pelaburan.
Selain pertumbuhan tersebut, KWSP turut menyaksikan pertambahan 286,194 kumpulan pencarum kepada seramai 16.4 juta pencarum. Daripada jumlah ini, sekitar 8.98 juta adalah ahli aktif mewakili 51.5% daripada 17.43 juta tenaga buruh setakat Jun 2025. Secara menyeluruh nisbah ahli aktif kepada tidak aktif kekal stabil 55:45 pada separuh pertama 2025.
