Kadar kesuburan dan kelahiran di Malaysia dilihat terus memaparkan penurunan, apabila data suku kedua 2025 menjadi rekod terendah dengan kelahiran 93,435 bayi. Jumlah ini untuk makluman menjadi data terendah yang pernah dicatatkan negara berbanding suku pertama 2025 dan suku kedua pada tahun 2024 iaitu 100,558 bayi (menurun 7.1%).

Jelas Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), data itu memperincikan bayi lelaki melebihi bayi perempuan dengan 48,444 kelahiran berbanding 44,991 kelahiran.
Berdasarkan taburan negeri, Selangor terus menjadi negeri tertinggi merekodkan bilangan kelahiran hidup dengan 17,605 bayi (18.8%) sementara Wilayah Persekutuan Labuan pula menjadi negeri yang merekodkan kadar kelahiran terendah dengan 274 bayi (0.3%).
Sementara mengikut taburan etnik pula, Melayu menyumbang 68.7% iaitu seramai 64,187 kelahiran, diikuti Cina dan India pula menurun kepada 8.1% dan 3.8%. Manakala etnik Bumiputera lain pula meningkat kepada 12.9%.

Secara menyeluruh, isu penurunan kadar kelahiran ini tidak sekadar didepani Malaysia semata tetapi turut dihadapi kebanyakan negara. Antaranya Korea Selatan, Jepun, Singapura, Thailand, China dan Rusia.