Artikel

Aplikasi Perbandingan Harga Price Catcher Kurang Raih Sambutan – Sekitar 552,000 Rakyat Sahaja Muat Turun

Walaupun kerajaan telah memperkenalkan inisiatif aplikasi perbandingan harga Price Catcher sejak 2018 di pasaran Malaysia, didapati akses itu kekal tidak mendapat sambutan yang membrangsangkan. Apabila setakat ini, sekitar lebih 552,000 pengguna sahaja yang telah memuat turun aplikasi tersebut. Daripada jumlah itu, hanya 62% pengguna sahaja benar-benar memanfaatkan aplikasi itu.

Data Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada laporan ini sekaligus menjelaskan tahap kesedaran pengguna di Malaysia masih lagi rendah, berhubung tindakan perbandingan harga barangan di pasaran semasa.

Kelompongan itu jelas perlu diatasi oleh pihak berkuasa, antaranya menggandakan peranan advokasi dan pendedahan kepada kumpulan pengguna akan kebaikan aplikasi tersebut. Peranan ini menurut KPDN memerlukan kerjasama pelbagai pihak antaranya kerjasama kementerian, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti semasa pada pelaksanaan kempen seperti barangan buatan malaysia serta di bawah inisiatif Rahmah.

Buat pengetahuan umum, aplikasi Price Catcher ini sentiasa mengemaskini penawaran harga barangan kepada pengguna. Di mana Pegawai Pemantau Harga (PPH) akan meninjau ke lokasi pasar basah terlibat dan akan mengemaskini rekod harga sebelum jam 10 pagi manakala tinjauan penetapan harga di pasaraya pula akan dikemaskini sebelum jam 12 tengahari susulan premis beroperasi pada jam 10 pagi.

Melihat pada komitmen itu, adalah wajar untuk setiap pihak terlibat melipatgandakan usaha pada penggunaan aplikasi ini. Secara menyeluruh KPDN menyasarkan penambahan sejumlah 100,000 pengguna pada aplikasi Price Catcher ini dicapai menjelang akhir 2025.