Setelah meraih kelulusan operasi pada pertengahan Januari 2025, dijangka menjelang akhir Ogos ini, Ryt Bank secara rasminya akan tersedia buat semua pengguna Malaysia. Makluman yang dikongsikan pada sidang kemuncak AI Malaysia 2025 yang berlangsung semalam ini, sekaligus tidak sekadar menjadikan Ryt Bank selaku bank digital ke-5 di Malaysia bahkan menjadi bank digital pertama yang menyediakan ciri sistem perbualan dikuasakan AI bersama pengguna.
Perkongsian YTL pada laporan Amanz ini turut menjelaskan penggunaan model bahasa raya yang digunakan Ryt Bank ini adalah ILMU iaitu LLM yang dibangunkan sendiri oleh YTL melalui YTL AI Labs. Apa yang menarik, model ini dilihat menerajui penguasaan Bahasa Malaysia yang lebih baik dengan perolehan skor tinggi pada ujian BM PT3 dan SPM. Bersama tahap penguasaan bahasa yang baik, ciri ini dilihat akan menjadi kelebihan buat perkhidmatan Ryt Bank bersama pengguna Malaysia kelak.
Buat pengetahuan umum, Ryt Bank adalah bank digital yang tertakluk di bawah perlesenan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK) – ini bermakna penawaran perkhidmatan tidak mengikuti piawaian syariah. Namun berbekalkan konsep sistem perbankan yang berbeza berbanding penyedia yang lain, peluang ini dilihat akan merancakkan lagi penyertaan pengguna negara pada perkhidmatan kewangan berikutan operasi perbankan tersebut berpotensi tersedia sepanjang masa.