Harga makanan global didapati meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lebih 2 tahun. Peningkatan ini mengikut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) berlandaskan ukuran Indeks Harga Makanan dunia telah merekodkan harga komoditi makanan asas mencapai 130.1 mata iaitu 1.6% lebih tinggi berbanding Jun 2025.
Tidak sekadar itu, angka ini turut menjadi rekod tertinggi sejak data Februari 2023.
Kenaikan harga makanan asas ini antaranya didorong kesan perubahan cuaca yang membawa kepada penurunan jumlah bekalan domestik. Antara lonjakan permintaan yang direkodkan adalah dari China dan Amerika Syarikat (AS) yang sekaligus membawa kepada peningkatan harga barangan seperti bahan mentah daging lembu, biri-biri, ayam dan minyak sayuran.
Selain itu harga produk tenusu juga memaparkan peningkatan 1.2% dan indeks gula pula naik 1.9%. Prestasi itu antaranya didorong hasil tuaian di Brazil yang dilihat lebih rendah berbanding jangkaan pengeluaran semasa.
Selain itu biarpun terdapat peningkatan harga ke atas sebilangan produk asas namun pelbagai produk asas lain kekal memaparkan paras harga yang lebih rendah seperti bijirin, jagung dan beras – namun FAO memberi amaran bahawa aliran ini berpotensi kekal berterusan pada bulan-bulan mendatang. Secara menyeluruh peningkatan harga makanan asas ini dilihat lebih rendah berbanding paras tertinggi yang pernah dicatatkan dunia pada Mac 2022 iaitu tatkala krisis antara Rusia dan Ukraine berlaku.