Artikel

Pulau Pinang Mahu Bina Pelabuhan Tuna Baharu – Libat Anggaran Kos Sehingga RM300 Juta

Selaras dengan piawaian antarabangsa dan sasaran meningkatkan pendaratan ikan – Pulau Pinang kini merancang membina pelabuhan tuna dan ikan laut dalam baharu di Bagan Ajam. 

Rancangan itu menurut laporan Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri akan melibatkan anggaran kos sekitar RM150 juta sehingga RM300 juta. Setakat ini, pembangunan tersebut masih diperingkat perbincangan bersama kumpulan pelabur.

Sekiranya matlamat ini berjaya direalisasikan, ia tidak sekadar mengembalikan zaman kegemilangan industri tuna di Pulau Pinang sepertimana pada era 1990-an tetapi turut memberi kemudahan yang lebih baik kepada aliran perdagangan. Di mana operasi dikhaskan untuk kapal tuna tanpa perlu berkongsi kemudahan dengan kapal komersial. Malah caj pelabuhan juga dijangka lebih rendah.

Dengan kemudahan khusus itu, ia sekaligus berpotensi meningkatkan pendaratan ikan tuna antara 30% sehingga 50% dalam tempoh 5 tahun setelah ia beroperasi. Berdasarkan rekod semasa, jumlah pendaratan tuna di Pulau Pinang termasuk kapal asing adalah sekitar 1.45 juta kilogram iaitu membawa nilai RM26 juta.

Secara menyeluruh pembangunan pelabuhan ini akan mengambil masa sekitar setahun setengah sehingga 2 tahun setelah kesemua pihak meraih kelulusan teknikal daripada  pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penyaluran peruntukan swasta.