Artikel

86% Cukai Pendapatan Individu Di Malaysia – Disumbang Golongan Berpendapatan Lebih RM100,000

Hasil kutipan cukai pendapatan individu di Malaysia secara asasnya memperlihatkan peningkatan berkala dari tahun ke tahun dan untuk tahun 2023 sahaja, kutipan itu berjaya mencapai sekitar RM37.77 bilion pada rekod menyeluruh. Di mana angka ini menyumbang 22% daripada jumlah keseluruhan kutipan cukai langsung negara iaitu RM171.34 bilion.

Melihat pada rekod itu, jelas Kementerian Kewangan pada notis lisan di portal Parlimenpembayar cukai dengan pendapatan bercukai melebihi RM100,000 telah menyumbang sekitar 86% daripada keseluruhan kutipan cukai pendapatan individu. Diikuti, golongan yang mempunyai pendapatan bercukai melebihi RM1 juta pula menyumbang sebanyak 20% daripada jumlah tersebut.

Data ini jelas betapa kritikalnya sumbangan golongan pendapatan pertengahan dan tinggi pada pembangunan negara. Namun bertindak balas pada persoalan wakil Sri Gading di Parlimen – berhubung jumlah kumpulan yang miliki kekayaan bersih RM100 juta di Malaysia dilihat tidak dapat dinyatakan.

Ini kerana Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak memiliki data sedemikian, susulan jumlah kekayaan bersih seseorang tidak berkadaran secara langsung dengan jumlah cukai yang dibayar. Terdapat aset kekayaan tertentu, seperti hartanah atau pelaburan tertentu, yang mungkin tidak tertakluk kepada pengenaan cukai. Oleh itu, angka kekayaan bersih tidak dapat diukur secara tepat melalui sistem percukaian sedia ada.

Sementara persoalan melibatkan data kutipan cukai pendapatan individu bagi 2024 pula akan dilampirkan kelak setelah Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2024 dimuktamadkan.