Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), antara syarikat pengedar automotif besar di Malaysia, kini mengukuhkan lagi kehadirannya dalam pasaran Malaysia dengan meluaskan penawaran produk melalui pengenalan kad kredit eksklusif iaitu Muamalat EON Visa Platinum dan Infinite kad kredit.
Kad eksklusif hasil kerjasama Bank Muamalat ini diperincikan hadir dengan pelbagai tawaran menarik seperti perolehan pulangan tunai bagi perbelanjaan, faedah takaful perjalanan serta penyediaan mata ganjaran. Lebih menarik ia juga direka khas untuk memberikan manfaat eksklusif kepada pelanggan EON, termasuk peminat kereta Proton, Audi, dan Volkswagen seperti penjimatan menerusi tawaran promosi.

EON melihat kerjasama dengan Bank Muamalat ini bukan sahaja memudahkan urusan kewangan pelanggan mereka, bahkan turut mewujudkan ekosistem yang lebih terintegrasi antara pemilikan kereta dan bersama akses kredit yang lebih luas.
Selain pengenalan kad kredit itu, EON pada acara EON Autofest 2025 hari ini turut memaklumkan kini kumpulan telah tampil dengan langkah penyatuan keseluruhan unit di bawah Kumpulan Syarikat EON. Jika sebelum pelaksanaan setiap cawangan perkhidmatan, dan platform EON tidak diselaraskan secara bersama. Kini kumpulan optimis inisiatif penyatuan itu akan menggandakan lagi prestasi dan memberi tambah nilai kepada permintaan pengguna di pasaran Malaysia.