Artikel

Airbnb Sasar Perluas Manfaat Ekonomi – Kini Sumbang RM9.2 Bilion, Pacu 93,600 Pekerjaan Di Malaysia

Tahun 2024 memperlihatkan prestasi Airbnb di pasaran Malaysia alami perkembangan yang membrangsangkan apabila menyumbang RM9.2 bilion pada ekonomi negara, mewakili 5% daripada sumbangan sektor pelancongan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

Data di bawah Oxford Economics yang dikongsi bersama Rnggt ini turut memperincikan Airbnb turut berjaya menyediakan sekitar 93,600 pekerjaan serta sumbangan RM2.1 bilion pada bentuk pendapatan yang diraih kumpulan hos terlibat.

Dengan pertumbuhan tersebut, ia secara jelas memaparkan aliran pelancongan di Malaysia telah alami pemulihan yang konsisten selepas berdepan krisis COVID-19 pada 2022. Perkembangan ini turut disokonga hasil perbelanjaan tetamu antarabangsa Airbnb yang dilihat kian meningkat kepada RM11 bilion pada tahun lalu. Aliran perbelanjaan ini merangkumi perbelanjaan penginapan dan bukan penginapan – dengan setiap tetamu Airbnb menghabiskan 2 hari di Malaysia bersama perbelanjaan purata RM640 sehari untuk keperluan bukan penginapan seperti makan di luar, membeli-belah, dan pengangkutan.

Pendapatan kumpulan hos Airbnb di Malaysia juga terus memaparkan peningkatan dan membantu merangsang semula ekonomi semasa menerusi perbelanjaan penyelenggaraan hartanah, khidmat domestik, peribadi dan kos kelangsungan operasi perniagaan.

Lebih menarik pelancongan di Malaysia telah mula menunjukkan perluasan pada permintaan ke luar bandar-bandar besar. Untuk tahun 2024 sahaja  lebih 50% daripada perbelanjaan tetamu Airbnb adalah berlaku di luar Kuala Lumpur dan Selangor. Dan peningkatan sekitar 68% pada perbelanjaan penginapan di kawasan bukan bandar juga telah dicatatkan, lebih tinggi berbanding 2019 iaitu sebelum krisis kesihatan.

Melihat pada potensi perluasan ekonomi ini, Airbnb menyasarkan rekod sedemikian akan lebih meningkat pada tahun ini dan 2026 bersempena Tahun Melawat Malaysia. Menerusi tindakan itu, dijangka lebih ramai pihak, lokasi ekonomi setempat akan meraih manfaat secara menyeluruh di masa hadapan.