Teknologi kewangan atau Fintech kini menjadi antara kuasa pengubah pada arena perkhidmatan kewangan global. Di Malaysia sahaja kumpulan ini telah perlihat pertumbuhan yang pesat bersama syarikat baharu menawarkan penyelesaian inovatif di mana setakat akhir 2024 terdapat 286 syarikat fintech direkodkan di pasaran Malaysia. Namun perbezaan ketara jelas dapat dilihat pada pasaran antarabangsa seperti Amerika Syarikat (AS) yang lebih cenderung kepada peneraju Techfin.
Jelas Tan Sri Andrew Sheng pada sesi perkongsiannya di MyFintech Week 2025 hari ini, AS ketika ini memiliki 7 syarikat teknologi gergasi yang digelar Magnificent Seven direkodkan menguasai $6.2 trilion dalam modal pasaran dan membelanjakan $400 bilion untuk perbelanjaan R&D.Jumlah ini sahaja mewakili kira-kira 15% daripada permodalan pasaran saham global pada akhir 2024, yang membawa nilai $18.96 trilion.
Walaupun kedua-duanya menggabungkan teknologi dan kewangan, tetapi peranan yang dibawa mereka dalam perkhidmatan kewangan adalah berbeza. Jadi mari Rnggt jelaskan apa itu Fintech dan apa itu Techfin.
Fintech
Syarikat Fintech biasanya bermula dari sektor kewangan dan menggunakan teknologi untuk menambah baik atau menginovasi perkhidmatan kewangan tradisional. Matlamat mereka bertujuan untuk menyelesaikan masalah khusus dalam industri kewangan seperti pembayaran, pinjaman, pelaburan, atau insurans dengan cara yang lebih cekap, pantas, dan mudah diakses. Sebagai contoh antara peneraju fintech yang terdapat di Malaysia adalah Boost, Touch ‘n Go, BigPay dan CapBay.
Techfin
Sebaliknya, Techfin pula merujuk kepada syarikat-syarikat teknologi besar yang kemudiannya merambah masuk ke dalam sektor kewangan. Syarikat-syarikat ini mempunyai infrastruktur teknologi yang kukuh, data pengguna yang banyak, dan pangkalan pelanggan yang sedia ada. Mereka menggunakan kekuatan teknologi dan skala data besar ini untuk menawarkan perkhidmatan kewangan sebagai tambahan kepada perniagaan teras mereka, seperti e-dagang atau media sosial. Antara peneraju Techfin yang tersedia di pasaran semasa ketika ini adalah seperti Alphabet, Amazon, Apple, Meta, Microsoft, Nvidia, dan Tesla.
Kesimpulannya, perbezaan antara Fintech dan Techfin bukan hanya pada latarbelakang syarikat, tetapi juga pada kuasa dan skala. Permodalan pasaran yang sangat besar dan pelaburan R&D yang tinggi menjadikan syarikat Techfin sebagai kuasa yang dominan dalam landskap kewangan digital global. Walaupun begitu kedua-dua model tersebut dilihat memiliki perkembangan yang selari di pasaran Malaysia dan kelak kita mungkin akan melihat lebih banyak persilangan di antara kedua-dua model ini. Apa yang pasti, landskap kewangan digital di Malaysia akan terus berkembang dan memberikan manfaat kepada pengguna.