Bagi memastikan simpanan persaraan penduduk Malaysia terus terjamin tanpa mengugat kesejahteraan kehidupan mereka – kerajaan kini sedang meneroka mekanisme yang membolehkan penduduk Malaysia meraih pendapatan berterusan biarpun selepas bersara.
Pendekatan ini menurut Dokumen Utama Laporan RMK13 memperlihatkan kerajaan kelak akan meneroka keupayaan untuk perkenalkan pembayaran pencen bulanan di bawah KWSP.
Langkah ini akan membolehkan pengasingan caruman KWSP kepada dua komponen iaitu simpanan persaraan dan skim pencen. Melalui usaha ini, golongan pekerja akan dapat mengeluarkan sebahagian daripada simpanan di samping menerima pencen bulanan pada umur persaraan.
Seperti yang umum ketahui, ketika ini simpanan persaraan KWSP boleh dikeluarkan sepenuhnya setelah pencarum mencapai usia persaraan 55 tahun. Sementara pengeluaran pada Akaun 2 pula hanya dapat dilakukan untuk perbelanjaan tertentu sahaja, seperti pendidikan, kesihatan dan rumah. Seterusnya pada Akaun 3 pula membolehkan pencarum mengeluarkan dana pada akaun tersebut pada bila-bila masa untuk memenuhi keperluan wang jangka masa pendek.
Selain pendekatan itu, dokumen laporan tersebut turut menggariskan kerajaan akan membangunkan satu platform digital khas bagi menggalakkan pindahan tunai secara tetap daripada anak-anak kepada ibu bapa dapat dilaksanakan – dengan tujuan menjamin kelangsungan hidup selepas usia persaraan.