Artikel

RMK13: Malaysia Mahu Kurangkan Jumlah Pekerja Asing Kepada 10% – Menjelang 2030

Selari dengan pemerkasaan arena pekerjaan di Malaysia, kerajaan kini menyasarkan untuk mengurangkan jumlah pekerja asing daripada 15% sedia ada kepada 10% menjelang 2030.

Usaha ini jelas Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sidang pembentangan RMK13 sebentar tadi – akan dilaksanakan melalui Mekanisme Lebi Pelbagai Peringkat. Di mana pendekatan itu akan dilaksanakan secara berkala dan lebih menyeluruh bagi menggalakkan majikan beralih kepada automasi, mekanisasi serta pengambilan pekerja tempatan.

Setakat ini antara sektor yang memaparkan tindakan sedemikian adalah sektor peladangan – di mana kini telah mewajibkan majikan untuk mengutamakan pemberian latihan kepada pekerja tempatan dan pelajar TVET sebelum permohonan diperluaskan kepada pekerja asing.

Langkah sedemikian sekaligus akan membantu menggalakkan lebih ramai majikan di Malaysia menggandakan pelaburan kemahiran bersama bakat tempatan dan sokongan digital berbanding sekadar bergantung kepada pekerja asing.