Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini secara rasminya membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 pada sidang Dewan Rakyat.
Dalam 5 tahun mendatang, PM Anwar menyasarkan ia menjadi tempoh yang cukup kritikal buat negara dalam melakar semula pembangunan untuk membantu generasi akan datang. Antara fokus yang diketengahkan menyeimbangkan tekanan kos, mencapai status negara berpendapatan tinggi dan membentuk rakyat berjiwa insaniah.
Berdasarkan komitmen itu Malaysia memaklumkan keperluan peruntukan pada RMK13 ini adalah sekitar RM611 bilion. Jumlah ini merangkumi RM430 bilion daripada Kerajaan, GLC dan GLIC (RM120 bilion) dan RM61 bilion pula melibatkan dana kerjasama awam dan swasta.
Jelas PM Anwar, agihan peruntukan ini akan dilaraskan dengan sektor ekonomi meraih RM227 bilion (52.8%), sektor sosial dengan RM133 bilion (30.9%), sektor keselamatan dengan RM51 bilion (11.8%) dan sektor pentadbiran RM17 bilion (4%).
Ini antaran fokus utama yang digariskan oleh kerajaan untuk meningkatkan pertumbuhan Malaysia:
- Menginstitusikan Kerajaan yang Cekap, Pantas dan Berkesan – tambahbaik sokongan perekodan digital
- Perkhidmatan Berpaksikan Rakyat – antaranya melibatkan infrastruktur asas
- Memastikan Kekuatan Fiskal dan Impak Perbelanjaan
- Menuju Negara Berasaskan AI (kecerdasan buatan)
- Pelonjakan Industri HGHV – ini meliputi sasaran negara selaku peneraju industri semikonduktor, peralihan tenaga boleh baharu dan bangunkan industri unsur nadir bumi.
Secara menyeluruh menjelang 2030, Malaysia menyasarkan pertumbuhan KDNK negara berupaya mencapai perkembangan 4.5% sehingga 5.5%, diikuti defisit fiskal disasarkan di bawah 3% kepada KDNK , bersama kapasiti penuh guna tenaga dan paras inflasi pula secara puratanya sekitar 2% sehingga 3%.
Berita lanjut menyusul.