Artikel

Draf Penginapan Jangka Pendek Sedang Dimuktamadkan, Sasar Laksana Akhir 2025 Ini – MOTAC

Usaha Malaysia untuk mengawalselia aktiviti penginapan kediaman jangka pendek (STRA) di pasaran semasa ini dilihat semakin hampir kepada penyelesaiannya. Apabila dimaklumkan draf garis panduan STRA kini sedang dalam fasa muktamad dan disasarkan untuk dilaksanakan pada akhir 2025 ini. 

Tindakan ini menurut Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Khairul Firdaus pada sidang Parlimen minggu ini, rangka panduan itu akan dibentang kepada Kabinet dalam masa terdekat. Setelah meraih kelulusan maka ia akan dikemukakan bersama Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan untuk persetujuan akhir.

Adanya panduan ini ia sekaligus akan membantu kerajaan negeri bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyelaraskan ekosistem STRA. Malah dijelaskan premis STRA ini hanya boleh didaftarkan secara sah sebagai penginapan pelancongan setelah pemain terlibat berjaya meraih lesen operasi perniagaan bersama PBT berkaitan. 

Dengan sasaran itu, seluruh operasi STRA dapat mematuhi piawaian pasaran dan menyumbang kepada ketenteraman awam dan keselamatan bersama komuniti di kawasan penginapan. Panduan ini dijangka akan menangani isu berbangkit seperti gangguan bunyi, isu tempat letak kenderaan serta kebimbangan keselamatan kesan aktiviti yang dijalankan premis STRA.

Secara menyeluruh, semua pihak perlu fahami lesen operasi STRA ini perlu dimiliki oleh setiap unit rumah yang diiklankan sebagai operasi penginapan jangka pendek. Ini bermakna setiap platform STRA seperti Airbnb, Agoda, iBilik atau sebagainya perlu pastikan kumpulan hos mereka patuhi keperluan perlesenan ini, susulan unit hartanah yang terlibat adalah di bawah pengendalian mereka.