Artikel

BNM Denda Bank Islam, BSN Dan Bank Rakyat Kesan Ketidakpatuhan – Penalti Libatkan Lebih RM7 Juta

Bank Negara Malaysia (BNM) kini telah mengenakan penalti ke atas tiga perbankan di Malaysia susulan ketidakpatuhan mereka pada amalan perkhidmatan. Perbankan yang berdepan penalti tersebut adalah Bank Islam, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Rakyat atau Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (BKRM).

Ketidakpatuhan ketiga bank ini diperincikan menerusi kesalahan di bawah Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002, Dokumen Dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi dan untuk Bank Islam memiliki isu ketidakpatuhan tambahan – iaitu dibawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan.

Di mana kesalahan tersebut antaranya menyebabkan pengguna berdepan isu gangguan pada sistem perkhidmatan melebihi tempoh tertentu dan berlaku secara berturutan dalam 12 bulan. Sebagai contoh gangguan berpanjangan terhadap perkhidmatan e-perbankan, pengeluaran ATM, sistem kad debit, kad kredit dan transaksi atas talian.

Kesan daripada isu tersebut, ini jumlah kos yang telahpun dilunaskan oleh kesemua bank susulan ketidakpatuhan perkhidmatan tersebut:

  • Bank Islam didenda RM3.44 juta
  • BSN didenda RM995,000
  • Bank Rakyat didenda RM2.85 juta

Jelas BNM, jumlah keseluruhan kos melibatkan nilai RM7.29 juta ini telah dilangsaikan oleh ketiga bank pada akhir Jun lalu.