Artikel

Hutang Isi Rumah Di Malaysia Kini Capai RM1.65 Trilion – MOF

Setakat akhir Mac 2025 lalu, hutang isi rumah di Malaysia kini memaparkan jumlah RM1.65 trilion iaitu mewakili 84.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Perkongsian Timbalan Menteri Kewangan (MOF) Lim Hui Ying pada sidang Dewan Rakyat adalah maklum balas kepada persoalan akan jaminan kerajaan dalam melindungi pengguna untuk meraih tahap kesejahteraan kewangan yang lebih baik.

Walaupun rekod sedemikian jelas menunjukkan aliran berhutang semakin meningkat namun pada masa yang sama nilai aset kewangan isi rumah di Malaysia dilihat terus mengukuh dengan melebihi 2.1 kali berbanding kadar hutang yang dilaksanakan. Ini bermakna kedudukan kewangan rakyat masih lagi stabil melihat pada rekod secara menyeluruh.

Tidak hanya itu bersama sokongan Bank Negara Malaysia (BNM) sejak 2012 di bawah Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab dilihat turut membantu pengguna meraih nisbah khidmat hutang (DSR) yang bersesuaian sekaligus membantu kumpulan ini memenuhi tuntutan hutang masing-masing.